Isnin, 24 Mei 2010

Daun Kesom




Kesum dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Polygonum minus huds dan berasal dari keluarga Polygonaceae. Ia mudah ditanam, khususnya di kawasan-kawasan lembap yang berair. Daunnya digunakan sebagai ramuan untuk mengharumkan masakan tempatan seperti laksa dan masak asam pedas.

Selain digunakan di dalam ramuan masakan kesum juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia mujarab untuk mengubati masalah perut tidak hadam dan masalah kelemumur. Untuk melegakan masalah perut tidak hadam. Daun kesum direbus kemudian airnya diminum. Untuk merawat masalah kelemumur pula, daun kesum ditumbuk kemudian diperah. Air perahan itu dicampur dengan sedikit air sebelum digosok kekulit kepala. Biarkan 3-5 minit kemudian bilas dengan air bersih


Cara Menanam Pokok Daun


Pokok Kesum mudah sahaja ditanam dengan menggunakan kaedah keratan batang atau keratan hujung batang berdaun. Ciri pertumbuhan pokoknya yang separuh menjalar itu menyebabkan batangnya akan mudah berakar apabila terkena kelembapan.
Campuran tanah atau medium tanaman yang agak lembap, gembur dan juga mengandungi banyak bahan organik serta air senang mengalir keluar adalah sesuai untuk penanamannya. Campuran yang disyorkan adalah campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 (Tanah Peroi: Bahan Organik: Pasir Sungai).

Terdapat beberapa cara atau kaedah penanamannya seperti berikut:
1) Kerat beberapa batang pokoknya yang matang atau hujung batang berdaun.
2) Buangkan daunnya di bahagian bawah sekali.
3) Tanam keratan tadi dalam medium tanaman seperti tersebut di atas sama ada dalam pasu atau di tanah dan pastikan ia dilindungi dari terik matahari. Kekalkan kelembapan medium tanamannya supaya pokok akan cepat tumbuh mungkin mengambil masa seminggu atau lebih bergantung kepada kelembapan medium tanaman.

Siram 2 kali sehari iaitu di waktu pagi dan petang bagi memastikan medium tanamannya lembap sentiasa. Elakkan medium tanamannya kering kerana ini boleh membantutkan pertumbuhan atau mematikannya. Gunakan baja organik seperti najis ayam untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan